Thursday
TAZKIRAH : Mensyukuri segala nikmat Allah
Asalamualaikum semua...AWAN tak selalunya cerah, laut bukannya selalu tenang, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Skrip hidup kita kadang-kadang tidak seperti yang kita harapkan.
Kita sering kali ditimpa rasa kecewa. Kecewa kerana sesuatu yang terlepas daripada genggaman tangan, keinginan yang tidak kesampaian, kenyataan yang tidak dapat diterima.
Akhirnya ia mengakibatkan sesuatu yang mengganggu jiwa dan perasaan. Hidup ini ibarat sebuah belantara tempat kita mengejar segala keinginan.
Sememangnya manusia diciptakan Allah mempunyai kehendak dan keinginan. Namun tidak semua yang kita inginkan akan tercapai.
Setiap apa yang kita idamkan juga kadang-kadang tidak mampu menjadi kenyataan.
Bukan perkara mudah untuk menyedari dan menerima kenyataan bahawa apa yang bukan menjadi milik kita tidak perlu kita tangisi.
Ramai orang yang tidak sedar hidup ini sebenarnya tidak semestinya berjaya atau bahagia.
Berapa ramai orang yang berjaya tetapi lupa apa yang mereka miliki itu semuanya pemberian Allah yang Maha Pemurah. Kejayaan itu menyebabkan seseorang menjadi sombong dan bertindak mengikut hawa nafsu.
Begitu juga kegagalan, kita dihadapinya dengan tenang dan sabar sedangkan dimensi tauhid dari pada kegagalan itu ialah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita.
Apa yang memang menjadi hak kita di dunia, Allah pasti tunaikan. Namun apa yang memang bukan milik kita, ia tidak akan kita miliki.
Seorang mukmin tidak akan bersedih ketika ditimpa musibah dan malapetaka.
Tetapi mereka tetap bersyukur kepada Allah dan menjadikan musibah itu sebagai peringatan terhadap dirinya. Oleh itu, apabila seorang mukmin berasa sedih ketika ditimpa musibah, maka dia bukan mukmin sejati.
Apa saja musibah yang menimpa seorang mukmin, selalu menguntungkan dirinya seperti sabda Rasulullah dalam sebuah hadis: “Sungguh menakjubkan! Urusan orang mukmin selalu menjadi hal yang menguntungkan bagi dirinya. Dan yang demikian itu hanyalah dialami oleh seorang mukmin, Seorang mukmin bila ditimpa kesusahan, dan dia mengingati Allah, dengan jalan itulah dia akan memperoleh jalan penyelesaian yang terbaik. Dia tidak merasa tekanan batin dalam bentuk apapun, kerana penderitaan yang paling berat sekalipun, pasti ada jalan penyelesaiannya. Seorang mukmin selalu mengingati Allah dalam keadaan ditimpa penderitaan yang amat sangat sekalipun, baik dengan mengucapkan tasbih, takbir, istighfar, doa mahupun membaca al-Quran, sehingga membuat jiwanya bersih, bening, perasaannya tenang dan tenteram.
Rasulullah turut bersabda yang bermaksud: “Ingat akan Allah adalah penawar kalbu.” (Diriwayatkan Ad-Dailami oleh Anas). Maka wahai jiwa yang sedang gundah berduka lara, dengarkan firman Allah: “Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Dan boleh jadi kalian mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah Maha Mengetahui kalian tidak mengetahui. (Surah Al-Baqarah ayat 216).
Maka janganlah hanyut dalam duka nestapa berpanjangan terhadap apa yang terlepas daripada genggaman atau dakapan. Lihatlah di sekeliling kita, cerminlah diri sendiri andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri!
Manusia yang mulia menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah hamba, benar-benar hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar-benarnya, baik secara teori mahupun praktikal.
Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik untuk kehidupan ini, semata-mata mengharap cinta-Nya, keredhaan-Nya dan lebih daripada itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan ‘kecantikan’ Maha Pemurah.
Andai keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah, apa yang diharapkannya esok hari tidak akan menjadi nyata. Malah apa yang terjadi adalah sebaliknya, maka kita mesti ikhlas menerima semuanya dengan senyuman dan reda.
Kehidupan ini hanya untuk-Nya. Dialah tujuan hidup dan sebaik-baik tujuan hidup! Yang lain pula hanya wasilah, alat, bekal atau modal untuk mencapai keredaan Allah.
Maka janganlah tangisi apa yang bukan milikmu kerana ia memang bukan milikmu! Kita ini adalah sebenar-benar hamba! Moga kita lebih kuat dan dekat kepada-Nya.
wasalam...