Sunday

TAZKIRAH : Sifat pemaaf mampu elak perpecahan


Asalamualaikum..maafkan kami...PEMAAF antara sifat luhur yang perlu ada dalam diri setiap Muslim. Banyak ayat al-Quran dan hadis. menekankan keutamaan sifat itu. Ia juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132).
Diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf.

Bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi?

Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.

Kadang kala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu.

Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekali pun. Punca itu boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.

Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah sepatutnya.

Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri. Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar.

Jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan hingga melakukan pembunuhan.

Sebagaimana yang kita dengar pelbagai kes tidak masuk akal berakhir dengan tragedi pembunuhan menyayat hati.

Sebagai makhluk yang lemah dan sentiasa melakukan kesilapan, berdoalah kepada Allah supaya hati kita sentiasa dilembutkan serta dipermudahkan untuk menghulurkan kemaafan sekali pun kita berada di pihak yang benar.

Apa yang mendukacitakan, ramai kalangan isteri atau suami, ibu atau bapa terlalu berat untuk memaafkan kesilapan pasangannya dan kesalahan anak-anak mereka.

Mereka memiliki sifat keras hati dan tidak mahu mengalah apabila berada dalam situasi genting. Malah, ada yang sanggup bersumpah untuk tidak mengampunkan dosa dan kekhilafan sekali pun diminta berkali-kali.

Sikap negatif seumpama itu jika dibiarkan berleluasa dalam keluarga hanya membawa kepada pecah-belah dan anak-anak menjadi mangsa perceraian.

Rasulullah adalah contoh terbaik kerana sifat terpuji terserlah pada diri Baginda yang tidak pernah menunjukkan rasa marah hatta jauh sekali menyimpan perasaan dendam dalam hati.

Biar pun pelbagai cara dilakukan orang kafir dan Yahudi yang mengguris perasaan Baginda.

Antara kisah paling masyhur berkenaan sifat mulia Baginda adalah diracun seorang perempuan Yahudi.

Walaupun sahabat iaitu Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing diberikan perempuan itu.

Namun Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya malah berdoa kepada Allah supaya diberi petunjuk dan hidayah hingga akhirnya beliau memeluk agama Islam.

Saidatina Aisyah berkata: “Rasulullah tidak pernah memukul sesiapapun, baik kepada isteri Baginda mahu pun pembantu Baginda, kecuali ketika berperang di jalan Allah. Dan Baginda tidak pernah membalas sedikit pun kepada sesiapa yang menyakiti hatinya, kecuali dalam perkara larangan Allah.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Anas menceritakan: “Ketika saya tengah berjalan bersama Rasulullah dan pada ketika itu baginda tengah mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: ‘Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun memakbulkan permintaan orang itu.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih).

Tiada ubat paling mujarab merawat penyakit hati melainkan dengan berlapang dada, memberi kemaafan secara ikhlas dan mengembalikan ketenteraman, ketenangan serta menambahkan khusyuk ketika beribadat.

Orang yang mudah memaafkan kesalahan orang lain, yakin dan percaya bahawa setiap keterlanjuran yang berlaku adalah ujian Allah. Mereka tidak terbelenggu dengan rasa marah berpanjangan. Pemaaf adalah mereka yang mulia di dunia dan akhirat.

Wasalam...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...