Thursday

TAZKIRAH : Hiburan Positif Tenangkan Jiwa


Asalamualaikum sahabat semua...kali ini kita rungkaikan tentang hiburan.Tapi hiburan yang macam mana? RAMAI daripada kita gemarkan hiburan dan sesetengah mereka menganggap hiburan menjadi keperluan bagi mengurangkan tekanan dan menyegarkan emosi.

Ketegangan dan kegersangan emosi boleh menyebabkan seseorang itu jadi pemarah, tertekan dan keresahan. Menyuburkan emosi memang penting kerana dari situ akan timbul sikap kasih sayang, prihatin dan peka pada keadaan sekeliling.
Namun, apabila disebut hiburan bukanlah semata-mata berkenaan nyanyian, konsert, berpesta, berkaraoke, pergi kelab malam atau berpeleseran.

Malah melihat keindahan alam, melancong, berkelah, beriadah, ekspedisi juga termasuk sebahagian daripada hiburan. Terdapat tiga kategori hiburan.

Pertamanya, bagi seorang Mukmin, iman, ibadat, wirid dan zikir atau apa saja perbuatan yang membawa pahala daripada Allah adalah hiburan.

Ini kerana hasil daripada itu ialah ketenangan dan ketenteraman. Jiwa akan sentiasa hidup, segar dan emosi pula terkawal. Itulah yang dimaksudkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang.”

Hiburan kategori kedua pula, iaitu apa saja cara yang dapat menghilangkan keresahan dan kerunsingan yang tidak bertentangan dengan syariat dan akidah.

Malah, jika dihayati hiburan jenis ini dapat dijadikan cara bagi mendekatkan diri kepada Allah. Ia seperti kita pergi berkelah untuk menghilangkan rasa bosan selain dapat merasai kehebatan ciptaan Allah sehingga meresap ke dalam jiwa sehingga timbul rasa gerun kepada-Nya.

Hakikatnya ramai yang tidak menyedari hikmah di sebalik berhibur. Jadi, hiburan hanya sekadar hiburan, terhenti setakat itu saja. Hiburan kategori itu selagi tidak bercanggah dan tidak memberi kesan negatif, ia ibarat penawar yang dapat menghilangkan keresahan buat seketika, tapi tidak dapat menghapuskan punca keresahan itu.

Kategori dan paling popular di kalangan orang ramai terutama muda-mudi ialah konsert nyanyian yang melalaikan, berpesta, kelab malam dan keluar berpasangan.

Ia terus menjadi hambatan hidup remaja kini. Hiburan jenis itu bukan saja tidak bersifat menyembuhkan, malah umpama penagihan dadah. Memang seronok, ibarat gula-gula, manis dan sedap tapi tidak mengenyangkan.

Tapi keseronokan itu tidak memberi kebahagiaan atau ketenangan malah ia beransur-ansur membawa kesan buruk dan negatif untuk jangka panjang.

Hiburan kategori itu mendatangkan kesan buruk pada hati yang tidak dapat dikesan. Hati akan menjadi keras, gelap, kemudian terdinding daripada mendapat kelazatan mengingati Allah, malah sukar menerima kebenaran.

Justeru, orang yang dapat hiburan hakiki umpama mendapat hidangan makanan yang lazat lagi enak dan tidak perlu lagi pada gula-gula yang tidak berkhasiat.

wasalam...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...