Wednesday
Setitik madu, harimau dan buaya
al~kisah.....Ada seorang hamba Allah ini, dia pergi ke hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yang segar itu, tiba-tiba dia terdengar bunyi.... aauuummmmm!!!!! iaitu bunyi harimau kelaparan yang menunggu mangsanya.
Jadi, si hamba Allah itu pun lari menyelamatkan diri. Harimau itu mengejar hamba Allah itu sebab ia terlalu lapar sangat. Harimau terus kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ini punyalah takut, berlari lintang-pukang.
Sempat juga berdoa supaya dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau itu.
Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan matanya.
Jadi untuk menyelamatkan diri, dia pun terjunlah ke dalam perigi itu. Pada perigi itu ada tali dan timba.
Dia pun bergayut pada tali tu.
Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi manakala harimau yang lapar itu sedang menunggunya. Dia pun berfikirlah macam mana hendak menyelamatkan diri sambil berdoa kepada agar Allah menyelamatkannya.
Sedang dia berfikir-fikir bagaimana hendak selamat, tiba-tiba dengar bunyi kocakan air di bawah perigi. Ya Allah lagilah seram dibuatnya. Hendak tahu ada apa dekat bawah itu? Ada dua ekor buaya yang sedang kelaparan.
Apalah nasib sudah jatuh ditimpa tangga lagilah takut si hamba Allah itu. Atas ada harimau bawah pula ada buaya. Dalam keadaan risau dan takut itu dia berfikir untuk mencari jalan keluar.
Tiba-tiba keluar seekor tikus putih dari celah-celah lubang perigi itu naik ke atas ikut tali itu. Sampai di atas, tikus itu gigit pula tali itu. Kemudian keluar lagi seekor tikus berwarna hitam.
Dia berfikir lagi, kalau naik ke atas makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah pasti akan dimakan buaya. Sedang hamba Allah itu berfikir bagaimana hendak selamatkan dirinya tiba-tiba dia terdengar bunyi.... uuuuuuuuuuuuu... bunyi lebah bawa madu.
Hamba Allah itu pun mendongak ke atas langit untuk melihat lebah yang sedang membawa madu. Tiba-tiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulutnya.
Punyalah nikmat sehingga tidak terkata. Hamba Allah itu berkata, “Fuh manisnya madu ini, tidak pernah aku rasa semanis ini. Sungguh sedap! Subhanallah.”
Kerana setitik madu itu hamba Allah itu lupa pada harimau yang sedang menantinya di atas perigi dan buaya yang menantinya di bawah.
Kalau semua hendak tahu, hamba Allah itu adalah kita semua.
Harimau yang mengejar itu adalah maut yang sedang menanti kita. Jadi marilah sama-sama kita beringat, dua ekor buaya itu adalah malaikat Munkar dan Nakir yang menanti kita di alam kubur nanti.
Tali tempat hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan jika panjang talinya maka pendeklah umur kita.
Tikus putih dan hitam itu pula adalah dunia kita siang dan juga malam yang sentiasa menghakis umur kita. Madu yang jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia.
Bayangkan setitik saja madu jatuh ke dalam mulutnya dia lupa pada harimau dan buaya itu. Macam kitalah, apabila dapat nikmat lupa kepada Allah dan begitu juga apabila dapat sedikit kesenangan sudah lupa diri, lupa dunia tempat beramal dan mencari bekal.
~wassalam~